Dua Kawasan PKPD Dikuatkuasakan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Kota Kinabalu: Dua kawasan perumahan di daerah ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas merekodkan peningkatan kes penularan jangkitan Covid-19.

Kawasan berkenaan adalah Kuala Manggatal dan Kampung Tanjung Aru Lama yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun sehingga 16 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, penguatkuasaan itu berikutan terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang direkodkan.

Katanya, bagi kawasan Tanjung Aru, ia membabitkan sebanyak 27 rumah dan keseluruhan 198 penduduk.

“Manakala bagi kawasan Kuala Manggatal pula, ia membabitkan sebanyak 134 rumah dan 210 penduduk setempat.

“PKPD di dua lokasi ini membabitkan pegawai dan anggota polis serta dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi memantau dan menguatkuasakan PKPD,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, penduduk di dua kawasan ini dinasihatkan supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan sepanjang tempoh PKPD ini dalam usaha mengurangkan penularan COVID-19.

Tamat