Siasatan Menyeluruh Akan Dilakukan.

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden mencabul kehormatan membabitkan peserta Unduk Ngadau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya setakat ini hanya menerima satu laporan polis berhubung kejadian salah laku berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat ataupun pernah menjadi mangsa serangan seksual, mereka dinasihatkan tampil membuat laporan polis.

“Setakat ini, kita baru menerima satu laporan polis berkenaan gangguan seksual ke atas peserta Unduk Ngadau.

“Sekiranya ada lagi laporan, kita tetap akan siasat. Tidak kiralah siapa pun, undang-undang tetap akan dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, setakat ini kes membabitkan seorang ahli politik yang ditahan masih dalam siasatan.

Katanya, hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan.

Hari ini, seorang ahli politik sebuah parti tempatan yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, sudah ditahan polis.

Lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 petang tadi.

Tamat