Pengusaha Pengangkutan Mohon Penguatkuasaan SOP Diperhalusi.


Kota Kinabalu: Pengusaha syarikat pengangkutan mohon kerajaan negeri supaya memperhalusi pelaksanaan bidang kuasa antara agensi ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di negeri ini.

Ini berikutan, walaupun mereka mempunyai kelulusan dan kebenaran untuk beroperasi daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, namun mereka masih dikenakan kompaun oleh pihak polis.

Pengarah syarikat Tung Ma Express, Sim Vui Fui berkata, surat permit kelulusan untuk beroperasi yang dikeluarkan LPKP berkuatkuasa selama enam bulan sehingga Julai depan.

Bagaimanapun katanya, syarikatnya masih dikenakan kompaun ketika melalui pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan polis.

“Dua kompaun bernilai RM10,000 setiap satu itu dikenakan atas alasan bas ekspress bergerak rentas daerah tanpa permit dan larangan beroperasi semasa ‘lock down’ bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan.

“Pihak berkuasa sepatutnya mempunyai komunikasi atau persefahaman mengikut bidang kuasa masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan seperti ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sim berkata, beliau sudah merujuk perkara itu kepada LPKP dan polis berhubung perkara itu, namun tiada penyelesaian yang dapat dicapai.

“Begitu juga dengan penggunaan kenderaan van persendirian dan pelancongan yang banyak menjalankan aktiviti penghantaran barang.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan semula untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata, kerajaan juga diminta supaya mengkaji semula masa operasi yang sesuai untuk sektor pengangkutan barangan.

Katanya, syarikat pengangkutan sukar mematuhi masa operasi 12 jam iaitu jam 7 pagi sehingga 7 malam berikutan barangan yang dibawa perlu dihantar mengikut kesesuaian bagi mengelakkannya daripada rosak atau terjejas.

“Perkara ini menyebabkan kesulitan kepada pengusaha pengangkutan terutamanya untuk membawa barangan basah seperti bekalan ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Sim berkata, ia berikutan jarak perjalanan antara daerah agak jauh sehingga ada yang mencecah sembilan jam untuk perjalanan tanpa henti seperti daerah Tawau dan Semporna.

“Namun kenderaan pengangkutan perlu berhenti untuk menurunkan barangan yang dibawa mengikut daerah dilalui dan ia akan memakan masa 1 hingga 2 jam sebelum perjalanan boleh diteruskan,” katanya.

Tamat