PENAMPANG: Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar daerah ini akan diperkasakan selaras dengan pengasingan zon membabitkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan menerusi penambahan pemantauan di laluan rentas daerah yang dikenalpasti.
Ini termasuk mengkaji beberapa lagi laluan alternatif atau jalan tikus yang menjadi pilihan pengguna jalan untuk merentas daerah.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berikutan arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menambah satu lagi SJR di Jalan Tulangis, di sini.
Katanya, Jalan Tulangis ini dikenalpasti digunakan oleh pengguna jalan dari arah Penampang ke Putatan untuk mengelak dari melalui SJR sedia ada di jalan utama yang ada di daerah ini.
“Kita juga mengambil inisiatif menutup dua jalan utama dan tiga laluan ‘U-Turn’ seperti di Jalan Kobusak berhampiran stesen minyak Shell dan laluan masuk dari Penampang ke Cybercity.
“Kedua-dua laluan ini ditutup selepas hasil penilaian mendapati ia tidak menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan berikutan terdapat jalan altenatif lain yang boleh digunakan untuk urusan mendapatkan keperluan harian serta mereka yang keluar bekerja,” katanya semasa meninjau pembukaan SJR di Jalan Tulangis di sini.
Haris berkata, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan diberikan dalam usaha melandaikan penularan COVID-19 di daerah ini.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati beberapa kenderaan dilihat cuba mengelak daripada melalui SJR sehingga menyebabkan Ketua Polis daerah terpaksa menutup laluan berkenaan.
Mohd Haris berkata, laluan yang ditutup itu adalah laluan masuk dari Penampang ke Cyber City di Kadugungan Gadang.
Katanya, walaupun laluan berkenaan ditutup, namun polis mendapati ada kenderaan yang membuat laluan sendiri berhampiran laluan yang ditutup.
“Kita terpaksa menutup laluan itu menggunakan “kon penghadang” bagi mengelak orang ramai menggunakannya.
Sehubungan itu, Mohd Haris berkata, beliau berharap pengguna jalan raya juga tidak melakukan perbuatan mengalihkan penghadang jalan secara sesuka hati.
Katanya, ini kerana sesiapa yang dikesan melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan tegas.
“Kita juga akan meneliti beberapa lagi jalan yang perlu ditutup selepas ini bagi menghalang pergerakan antara daerah terutamanya jalan-jalan tikus atau jalan alternatif yang menjadi pilihan pengguna jalan,” katanya.
Tamat







