Mayat Dipercayai Dibunuh Ditemui

Ranau: Cemburu dipercayai motif utama pembunuhan seorang lelaki warga asing yang ditemui dengan kesan kecederaan di kawasan semak berhampiran pasar malam Pekan Ranau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mayat terbabit ditemui orang awam sebelum melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dan badan dipercayai kesan dipukul dengan objek tumpul.

“Mangsa dikenalpasti seorang warganegara Filipina berusia 30-an dan bekerja sebagai buruh kasar. Mangsa dipercayai dibunuh sekitar jam 11.30 pagi hingga 1 petang, semalam.

“Siasatan turut mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada kejadian pergaduhan yang bermotifkan cemburu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Simiun berkata, mengikut keterangan ahli keluarga mangsa, lelaki terbabit keluar bertemu dengan seorang wanita yang dikenali suspek.

Katanya, suspek dikenalpasti sebagai seorang warga asing dan dipercayai sudah melarikan diri selepas insiden pergaduhan berkenaan.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Simiun berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis berhubung insiden ini.

Tamat