MENINGKATKAN KESIHATAN MENTAL DI ERA PANDEMIK COVID-19.

Pensyarah Kanan Psikologi Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Dr Mohd Hanip Hassan

TAWAU: Ramai dalam kalangan ahli masyarakat memerlukan bantuan psikologi dalam era penularan pandemik Covid-19 yang kian mencabar dari semasa ke semasa.

Ini berikutan masyarakat umum pastinya belum bersedia dengan kawalan pergerakan yang kini memakan masa yang begitu lama dan tekanan itu secara langsung menjejaskan kesihatan mental.

Pensyarah Kanan Psikologi Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Dr Mohd Hanip Hassan berkata, hal itu amat jelas dengan merujuk kepada statistik yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berhubung kes bunuh diri yang meningkat sejak Mei 2019 iaitu sebanyak 1,738 kes.

Katanya, ia turut disokong dengan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegaskan sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan bagi tiga bulan pertama tahun ini.

“Keadaan ini sangat membimbangkan dan saya percaya perkara yang berlaku ada kaitan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh seseorang semasa era pandemik Covid-19 yang kian mencabar.

“Ia juga berkaitan dengan tekanan hidup disebabkan faktor seperti kehilangan punca pendapatan, kawalan pergerakan yang ketat, terkurung di rumah dalam tempoh masa yang lama atau masalah masalah lain yang boleh menyebabkan seseorang tertekan sehingga menganggu kesihatan mental mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mohd Hanip berkata, hakikatnya, masyarakat juga secara umum terkesan dengan norma baharu semasa era pandemik.

Ekoran itu katanya, pelbagai lapisan masyarakat perlu saling memberi sokongan dalam aspek yang tertentu terhadap mereka yang memerlukan seperti aspek kewangan, makanan dan psikososial.

“Pihak kerajaan harus berganding bahu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membina dan melaksanakan strategi yang lebih tersusun untuk membantu semua lapisan rakyat memerlukan supaya segala yang dirancang sampai kepada sasaran.

“Pada masa yang sama, ahli masyarakat juga berperanan membantu dalam aspek yang diperlukan. Mereka perlu meningkatkan perasaan empati dengan jiran seperti bertanya khabar dan berkongsi masalah dengan memberi sokongan serta mencari jalan penyelesaian bersama-sama sekiranya perlu.

“Gangguan kesihatan mental boleh mendorong kepada tingkah laku negatif yang tidak diingini. Justeru itu, meningkatkan kesihatan mental seseorang, ahli keluarga perlu lebih sensitif terhadap perubahan tutur kata, emosi dan tingkah laku yang berlaku kepada ahli keluarga,” katanya.

Dr Mohd Hanip berkata, kita perlu membantu dengan memberi sokongan, meningkatkan keperihatinan dan sering berada bersama-sama menghadapi tekanan yang dihadapinya.

Katanya, masyarakat perlu meningkatkan suasana keceriaan dan keharmonian dalam sesebuah keluarga serta tidak membiarkan ada mereka menghadapi tekanan secara bersendirian sehingga boleh mengakibatkan perasaan putus asa, mengasingkan diri dan hilang harapan untuk meneruskan kehidupan.

“Tanda seseorang mengalami kesihatan mental boleh dikenal pasti melalui aspek psikologi, emosi dan tingkah laku mereka.

“Mereka akan menunjukkan tanda-tanda seperti tutur kata yang tidak stabil seperti kasar dan nada suara yang tinggi. Mereka juga menunjukkan emosi yang tidak stabil seperti cepat marah, sensitif atau nada kecewa.

“Tingkah lakunya juga turut berubah menjadi seorang yang kasar dan agresif atau sebaliknya menjadi seorang pendiam, muram, sedih dan suka menyendiri.

“Kekecewaan, putus asa dan kesedihan atau hilang minat untuk melakukan aktiviti harian dapat menjurus ke arah kesan yang lebih parah seperti kemurungan,” katanya.

Dr Mohd Hanip berkata, sifat kemurungan yang serius dan tidak dapat dirawat atau diselesaikan dengan berkesan boleh menyebabkan seseorang mengalami halusinasi, iaitu apabila seseorang yang mula mendengar bisikan yang pada hakikatnya tidak berlaku.

Katanya, halusinasi ini menggambarkan seseorang sedang bermonolog dengan diri sendiri sehingga sampai ke satu tahap seolah-olah ada seseorang yang sedang membisikkan sesuatu khususnya untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah seperti untuk membunuh diri.

“Bantuan psikologi perlu ditawarkan oleh ahli psikologi dan kaunselor profesional melalui kaedah baharu seperti menggunakan Whatsapp, Telegram, Facebook, Google Meet atau apa jua aplikasi yang dirasakan sesuai untuk memberikan perkhidmatan sokongan psikososial.

“Perkhidmatan yang boleh dilakukan ialah seperti kaunseling krisis, bimbingan atau sokongan psikologi.

“Walau keadaan mendesak, perkhidmatan ini perlu dikendali secara profesional tanpa meninggalkan asas perkhidmatan kerana ditakuti meninggalkan kesan yang lebih parah jika dilakukan oleh mereka yang tidak berkelayakan.

“Sekiranya terdapat kes yang serius, seseorang perlu segera dirawatan segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk seperti membunuh diri,” tegasnya.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai kaedah untuk meningkatkan kesihatan mental seseorang seperti beribadah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Menerima takdir sebagai ujian dan rahmat-Nya akan menjadikan diri lebih tenang selain melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan.

“Mereka juga perlu mengambil peluang untuk bersama-sama dengan ahli keluarga dengan mengamalkan komunikasi yang berkesan untuk membina suasana yeng lebih ceria dan harmoni.

“Selain daripada itu, mereka juga boleh meningkatkan nilai kesyukuran dengan membandingkan orang lain yang lebih susah berbanding dirinya,” katanya.

Dr Mohd Hanip berkata, masyarakat juga boleh memainkan peranan yang termampu dengan memberi bantuan seperti makanan dan termasuk sokongan psikososial.

Tamat