Padah Cabar PKPD.

Kota Belud: Seorang lelaki ditahan polis selepas dirakam seperti mencabar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam kejadian di Kampung Pintasan, di sini, tular di media sosial.

Lelaki yang memandu Proton Wira terbabit dirakam melanggar garisan kuning yang dipasang polis sebelum sengaja dialihkan dengan tangan untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, kawasan kampung berkenaan diwartakan sebagai kawasan PKPD pada 9 Julai dan dijadualkan tamat pada 22 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya, tindakan lelaki terbabit berjaya dikesan pasukan polis yang terus bertindak menahannya untuk siasatan lanjut.

“Suspek dirakam melepasi kawasan PKPD di Kampung Pintasan, dengan melanggar garis kuning sebelum mengangkat tali garisan polis menggunakan tangan.

“Ia bukan saja dilihat seolah-olah mencabar tindakan pihak berkuasa tetapi tindakan itu juga dibimbangi mengundang risiko penularan wabak Covid-19, di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek memandu dari rumahnya bagi tujuan mengisi minyak.

Katanya, stesen minyak yang dilawati berkenaan terletak di luar kawasan PKPD iaitu di Kampung Tamau, di sini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 17 Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 202,” katanya.

Tamat