Penampang: Seorang remaja perempuan lemas selepas berjaya menyelamatkan adik bongsunya yang ditarik arus di Sungai Moyog, Kampung Kambau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun dikatakan bertindak terjun ke sungai berkenaan selepas menyedari adiknya hanyut dibawa arus deras sungai.
Bagaimanapun, sebaik menyelamatkan adiknya, mangsa yang dipercayai kepenatan terus tenggelam sebelum ditemui lemas oleh penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.14 pagi dan mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga adiknya dikatakan mandi di sungai berkenaan
“Kejadian bermula apabila mangsa cuba menyelamatkan adik yang tiba-tiba hanyut dibawa arus.
“Namun selepas adiknya berjaya diselamatkan, mangsa dikatakan terus tenggelam di bawa arus sungai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, hasil daripada bantuan penduduk setempat, mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.
Tamat





