Lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terbakar.

Ranau: Sebuah lori milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbakar dalam kejadian di Jalan Ranau-Kundasang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, semua anggota selamat manakala lori milik APM pula hanya terbakar hampir 75 peratus daripada keseluruhannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba, api masih marak membakar lori jenis Handalan Hicom berkenaan dan operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal pada jam 8.38 sebelum operasi tamat sepenuhnya sejam selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.

Tamat