Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang berjoging di kawasan tempat letak kereta, Kompleks Sukan Likas, di sini, dilaporkan meninggal dunia, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, berusia 55 tahun dikatakan tiba- tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri.
Beberapa individu lain yang turut berjoging di kawasan berkenaan terus menghubungi panggilan kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas mendapatkan pemeriksaan pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).
“Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan berlakunya sebarang unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Jabatan Forensik HQE 1 untuk dapatkan pemeriksaan lanjut Covid -19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Tamat







