Api bermula dari dapur salah sebuah rumah.

Kota Kinabalu: Kebakaran rumah setinggan di penempatan Telipok, di sini, dipercayai bermula dari dapur sebelum memusnahkan 26 rumah keseluruhannya.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, kebakaran dipercayai membabitkan seramai 115 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan yang dijalankan, seorang mangsa menyatakan kebakaran berpunca dari salah sebuah rumah.

Katanya, mangsa yang sedang makan tengah hari di rumah terkejut selepas menyedari dapur rumahnya tiba-tiba terbakar.

“Selepas melihat keadaan api yang besar, mangsa panik dan bertindak melarikan diri dari rumah berkenaan.

“Akibat kejadian itu, beberapa rumah berdekatan turut terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan bagaimanapun masih dijalankan oleh pihak bomba untuk mengenalpasti punca sebenar kebakaran.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebanyak 26 rumah jenis setinggan musnah terbakar dalam kejadian kebakaran ini.

Katanya, pihaknya menganggarkan lebih 115 penduduk yang tinggal di kawasan itu tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu.

“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 petang sebelum mengerahkan tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.

“Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman kdengan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan hasil pemeriksaan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, operasi terkawal pada jam 2.23 petang dan kerja memadamkan sepenuhnya api masih sedang dijalankan ketika ini.

Tamat