
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di Taman Cantek, Lido, di sini, disahkan sebagai kes kematian mengejut.
Dalam kejadian jam 8.49 pagi itu, mangsa yang pergi ke kedai berkenaan untuk sarapan pagi dikatakan tiba-tiba rebah sebelum orang awam menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya mengerahkan sepasukan polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).
“Siasatan di tempat kejadian mendapati tubuh badan mangsa tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HQE untuk dijalankan ujian Covid-19 dan bedah siasat.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Tamat





