Beaufort: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Poring, Membakut, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, isteri dan seorang lagi anak mangsa berusia 25 dan 44 tahun yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pemandu yang maut dikenali sebagai Ambros Sinting, berusia 48 tahun.
Katanya, mangsa yang memandu Toyota Land Cruiser sedang dalam perjalanan dari Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, menuju ke pekan Membakut.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannnya sehingga terbabas ke sebelah kiri jalan dan terus terbalik.
“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa sendiri. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan,”katanya dalam kenyatan media yang dikeluarkan, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, hasil kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Membakut.
Katanya, setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kes ini dan mangsa juga tidak disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Beaufort dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tamat




