Lima kedai ranap.

Kota Kinabalu: Sebuah bangunan berstruktur kayu yang menempatkan lima kedai di Pekan Kimanis, di sini, roboh.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, keadaan bangunan kedai berkenaan ranap sepenuhnya dan pasukan bomba terus membuat kerja-kerja pembersihan.

“Selain itu, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan berkenaan memastikan tiada kemerbahayaan lain berlaku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, struktur kedai berkeluasan 557 meter persegi berkenaan roboh dipercayai berpunca daripada angin kencang yang berlaku sekitar waktu subuh.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.33 pagi.

Tamat