Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat disarankan supaya meneruskan Projek Tebatan Banjir Penampang selain melaksanakan tindakan sepatutnya dalam usaha menangani ancaman banjir yang semakin meruncing di daerah Penampang.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Mojuntin berkata, setakat hari ini, hanya dua daripada empat fasa projek tebatan banjir di Penampang dilaksanakan sejak diluluskan pada 2011.
Katanya, dua lagi fasa yang belum dilaksanakan itu membabitkan kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan Sungai Moyog serta pemasangan injap air di beberapa lokasi.
“Banjir yang kerap melanda daerah Penampang sejak kebelakangan ini dibimbangi boleh menindas sosio ekonomi penduduk selain membinasakan banyak harta benda.
“Dalam tempoh satu tahun ini, daerah Penampang sudah mengalami banjir sebanyak enam kali dengan yang terkini adalah pada pagi semalam dan yang ketiga dalam tempoh sebulan,”katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara hari ini.
Donald berkata, ada perkampungan yang sudah mengalami banjir 24 kali dalam tahun ini dan setiap kali banjir berlaku, kesannya bertambah buruk.
Katanya, langkah segera dan berkesan perlu diambil bagi mengatasi masalah banjir di daerah itu dengan keutamaan untuk menyiapkan fasa Projek Tebatan Banjir yang tergendala.
“Saya mencadangkan agar kerajaan Pusat menangguhkan sementara satu projek persimpangan bertingkat yang diluluskan di Penampang dan menggunakan peruntukannya untuk menyiapkan Projek Tebatan Banjir Penampang,” katanya.
Sementara itu, Donald berkata, kerajaan juga perlu meneliti pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya yang melalui Penampang agar pembinaan kemudahan infrastruktur itu tidak menimbulkan masalah banjir.
Katanya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sangat dialu-alukan, namun kerajaan Pusat perlu memastikan pembinaan lebuh raya itu di kawasan Penampang tidak menambah buruk keadaan banjir di daerah berkenaan.
“Sahabat saya, mantan YB Senator Adrian Lasimbang mengambil gambar menggunakan dron keadaan banjir yang berlaku di Penampang semalam selepas hujan tiga jam sahaja. Dalam gambar itu, nyata di sepanjang tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo banjir lebih teruk daripada sebelumnya.
“Menteri Kerja Raya Sabah sendiri telah menyatakan antara penyebab utama banjir di Penampang adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Projek ini melibatkan banyak penimbusan tanah yang pada musim hujan menjadi tembok penghalang aliran air banjir,” katanya.
Beliau mendakwa dua jambatan yang dibina oleh kontraktor Lebuhraya Pan Borneo yang berjarak dua kilometer antara satu dengan lain iaitu di Kampung Monsopiad dan Hubah, Penampang juga mempunyai kecacatan reka bentuk.
Jelasnya, laluan air kedua-dua jambatan terlalu kecil dan tidak dapat menampung aliran air banjir yang banyak, selain kedua-duanya mudah tersumbat dengan dahan kayu dan sampah yang hanyut.
“Apabila ini berlaku, ia menyebabkan hakisan tebing sungai dan membawa keadaan yang merbahaya kepada rumah berdekatan.
“Saya difahamkan bahawa lazimnya jururunding atau jurutera yang dipertanggungjawab untuk menyelia projek adalah bukan orang tempatan dan tidak mempunyai pengetahuan keadaan dan situasi tempatan.
“Oleh itu, saya minta satu kajian dibuat secara segera daripada pihak kerajaan Pusat untuk mengenal pasti langkah yang perlu diambil bagi mengelak situasi di mana satu projek yang sepatutnya baik untuk semua, membawa pula padah kepada rakyat setempat ketika dalam pelaksanaannya,” katanya.
Tamat






