Penjenayah pecah rumah ditahan.

Tawau: Seorang lelaki yang baru memecah masuk sebuah rumah di Merotai, di sini, beberapa jam lalu ditahan polis, hari ini.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan operasi bersama pasukan Balai Polis Bombalai yang selepas menerima laporan kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berjaya ditahan di Kampung Haji Matahir ketika memandu Proton Saga putih dalam keadaan panik selepas menyedari kehadiran polis.

“Dalam operasi yang dijalankan di Kampung Haji Matahir, polis menahan kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih yang dipandu suspek.

“Suspek yang panik dengan kehadiran polis cuba lari namun berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, polis menemui dua buah beg berisi barang kemas dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek terbabit dalam sekurang-kurang empat kes pecah rumah dan kedai.

“Setakat ini, empat kes pecah masuk rumah dan kedai berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Suspek juga memiliki rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 448 Kanun Keseksaan melakukan pencerobohan dan Seksyen 457 akta sama,” tegasnya.

Tamat