KOTA KINABALU: Sabah FC perlu mencapai kemenangan dalam pertemuan menentang Kelantan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pertemuan menentang Kelantan FC sangat penting bagi memastikan skuad badak layak ke peringkat seterusnya dalam siangan kempen TM Piala Malaysia 2021.
Anak-anak buahnya perlu melupakan dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus fokus kepada perlawanan penting malam esok.
“Setakat ini peluang masih lagi terbuka dan yang penting di sini kita harus memperbaiki kedudukan ini sekali gus menang menentang Kelantan FC malam esok.
“Kita tewas dengan pasukan JDT dua kali berturut-turut. Pada masa itu kita beri peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta pendedahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Kim Swee berkata dengan adanya pendedahan serta pengalaman bertemu dengan pasukan terbaik negara iaitu JDT, pemain-pemain muda dapat mempelajari sesuatu daripada perlawanan itu.
“Kita harap pemain muda yang diberi peluang sekali lagi turun malam esok akan beraksi dengan lebih baik berikutan beberapa pemain utama cedera termasuk Park Taesu, Nazirul Naim, Dendy Lowa Rawilson Batuil,” katanya.
Kim Swee berharap, sesiapa sahaja yang diturunkan malam esok dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik untuk memastikan Sabah FC mencatat tiga mata menentang Kelantan FC.
“Kita sangat berharap agar beberapa pemain utama sempat pulih sekali gus dapat beraksi secara sepenuh masa sekali gus memastikan tiga mata milik Sabah FC,” katanya.
Tamat









