Kanak-kanak dibaham buaya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah

Lahad Datu: Seorang kanak-kanak dikhuatiri dibaham buaya selepas hilang di kawasan sungai Kampung Bakau Lama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 10 tahun terbabit dikatakan diheret seekor buaya masuk ke dalam sungai berkenaan sebelum hilang tanpa kesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung bagi mengenalpasti identiti mangsa yang hilang.

“Saksi di tempat kejadian mendakwa terdapat seorang kanak-kanak yang dibaham buaya sebelum diheret ke dalam sungai,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi pencarian diteruskan di kawasan sekitar.

Katanya, maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Tamat