100 keluarga harap diberikan rumah PPR.

Sandakan: Seramai 100 keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Gas, Batu Sapi, di sini, tiga tahun lalu diharap dapat diberikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Presiden Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Fadli Fathullah berkata, pihaknya sudah meninjau kawasan penempatan berkenaan dan mendapati mangsa yang terjejas akibat kebakaran berada dalam keadaan terbiar.

Katanya, semua mangsa dan keluarga masing-masing kini terpaksa menetap di dalam kontena sejak kejadian berkenaan.

“Kita mendapati rakyat di kawasan berkenaan perlu pembelaan dengan kadar segera memandangkan keadaan mereka sangat menyayat hati.

“Apabila melihat mereka tinggal di sana, ia tidak selamat didiami serta membahayakan kesihatan penduduk. Mereka hanya tinggal di dalam kontena yang sangat tidak selesa dan panas selain persekitaran yang tidak bersih,” katanya selepas menyertai program pembersihan di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya dalam masa yang sama turut menerima banyak aduan berhubung keadaan nasib mereka di penempatan berkenaan.

“Jumlah penduduk yang tinggal di rumah kontena tersebut seramai 100 keluarga yang terlibat rumah mereka yang terbakar beberapa tahun yang lalu.

“Jadi kerajaan perlu mengambil berat dan membela nasib rakyat di kawasan berkenaan dengan segera dan kita meminta supaya mereka dapat dipindahkan ke perumahan PPR segera,” katanya.

Terdahulu, kebakaran yang berlaku kira-kira empat tahun lalu menyebabkan lebih 400 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila 90 rumah di kawasan itu hangus sepenuhnya.

Tamat