42 PATI berjaya dihalau.

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) terbukti berhasil dalam memantau dan melaksanakan Op Benteng di perairan negara selepas berjaya mematahkan cubaan masuk warga asing ke perairan daerah ini, semalam.

ATB2 yang membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) segera melancarkan aset masing-masing sebaik mengesan pergerakan tiga bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejadian pada awalnya disedari pesawat C-130H milik TUDM yang mengesan tiga bot bergerak dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke perairan Bangau-Bangau, di sini.

Katanya, kapal KD Baung yang berada berhampiran lokasi terus dikerah untuk mengekori dan memantau bot berkenaan sebelum kehadiran pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, hanya dua bot berjaya dipintas manakala sebuah lagi bot sempat berpatah balik ke sempadan antarabangsa selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan, dua bot berkenaan membawa seramai 42 PATI tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Karim berkata, mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita serta 18 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilaksanakan mendapati hanya barangan persendirian dibawa dan tiada sebarang penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal.

“Kedua-dua bot kemudiannya diiringi sehingga ke perairan antarabangsa bagi memastikan mereka keluar daripada sempadan negara,” katanya.

Tamat