Aktiviti bom ikan dikesan.

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu lagi kegiatan bom ikan dalam operasi di perairan Pulau Sakar, di sini, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki yang menaiki sebuah perahu bagaimanapun berjaya meloloskan diri ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, sebaik mengesan perahu berkenaan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi cuba mengejar sebuah perahu berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, suspek yang menyedari cuba ditahan terus bertindak menghilangkan diri dengan meninggalkan perahu di kawasan Pulau Malamok, di sini.

“Pemeriksaan terhadap perahu yang ditinggalkan itu membawa kepada penemuan barang salah.

“Antara yang ditemui ialah beberapa botol berisi baja ammonuium nitrat yang dipercayai digunakan untuk tujuan bom ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan dalam operasi kali ini dianggarkan berjumlah RM1,400 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Tamat