IPD KK lancar latihan pemantapan Op Banjir


Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melancarkan latihan ‘Latika Andaian Op Banjir’ bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan kerjasama antara polis dan pelbagai agensi penyelamat lain di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, latihan ini adalah sebahagian daripada persediaan awal untuk berdepan sebarang kemungkinan ketika monsun timur laut.

Katanya, latihan yang membabitkan 24 pegawai dan 60 anggota itu terdiri daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Dengan adanya latihamal ini, kita akan dapat memantapkan persediaan mental dan fizikal petugas serta logistik dalam mengendalikan sebarang bencana alam.

“Malah ia juga dapat memantapkan lagi sistem pengurusan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya ketika ditemui selepas selesai program Latika Andaian OP Banjir, IPD Kota Kinabalu.

Mohd Zaidi berkata, pusat PKTK adalah nadi kepada usaha menyelamatkan mangsa dan harta benda yang terlibat dalam setiap insiden.

“Sekiranya PKTK ini lambat diaktifkan, maka usaha-usaha menyelamat juga sudah pasti berdepan kesukaran akibat kelemahan dari aspek pengurusan antara agensi, operasi terlewat ataupun terbantut.

“Usaha menyelamat membabitkan pebagai agensi ini perlu dijalankan secara bersepadu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20),” katanya.

Menurutnya, pemantapan latika andaian ini juga membabitkan penugasan pasca banjir seperti penghantaran balik mangsa-mangsa selain penyaluran bantuan keperluan dan bantuan tenaga manusia seperti pembersihan rumah ibadat dan sebagainya.

Tamat