KPDNHEP terima 8,555 aduan

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 8,555 aduan berhubung kenaikan harga barang di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aduan itu diterima 18 Mac tahun 2020 menerusi pelbagai saluran bagi memudahkan rakyat dalam menyalurkan aduan.

Katanya, kebanyakkan aduan kenaikan harga barang ini banyak diterima sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, aduan berkenaan tidaklah terlalu tinggi sehingga boleh menggusarkan rakyat. Bagaimanapun, KPDNHEP sudah mengambil tindakan terbaik dalam menangani setiap permasalahan.

“Kenaikan ini disedari kerajaan namun ia adalah disebabkan masalah global dan bukan hanya sekadar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) untuk daerah Tawau,di sini, hari ini.

Alexander berkata, kerajaan sudah melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat untuk berdepan masalah kenaikan harga barangan ini.

“PJKM ini juga salah satu inisiatif kerajaan yang dilaksanakan sejak 7 Disember tahun lalu dan akan terus dilaksanakan sekiranya ada keperluan,” katanya.

Alexander berkata, PJKM sangat membantu rakyat dalam menjimatkan kos perbelanjaan terutamanya membabitkan barang keperluan.

“Semua barang yang terlibat dijual dengan harga murah sehingga 20 peratus daripada yang ditetapkan KPDNHEP,” katanya.

Tamat