Kota Kinabalu: “Setakat ini, tiada sebarang laporan kes berhubung syarat wajib untuk membeli minyak masak paket di negeri ini,”
Demikian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika diminta mengulas beberapa insiden kejadian seumpama itu yang berlaku di semenanjung Malaysia.
Shahelmy berkata, setakat ini pembelian minyak masak berpaket hanya dihadkan untuk dua paket bagi setiap pembelian.
Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan syarat lain untuk mendapatkan barang bersubsidi itu.
“Setakat ini tiada syarat wajib beli barangan lain sebelum dibenarkan mendapatkan minyak masak diterima di negeri ini.
“Apa yang ada hanya hadkan pembelian di mana pembeli hanha boleh mendapatkan dua paket saja untuk setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian media selepas mengiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa akhbar melaporkan terdapat premis jualan yang meletakkan syarat dengan mewajibkan pembelian gula untuk membeli satu paket minyak masak.
Bagaimanapun perkara itu dipercayai berlaku di beberapa daerah di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Shahelmy berkata, beliau turut memaklumkan bekalan barangan keperluan termasuk bawang dan minyak masak sentiasa dipantau dari masa ke masa.
Malah katanya, perkara itu sentiasa diperiksa terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.
“Setakat ini, bekalan bawang tidak ada kekurangan namun kita akan sentiasa pantau dari masa ke masa sepanjang musim perayaan.
“Minyak masak paket bersubsidi juga kadang kala ada kekurangan tetapi tidak terlalu kritikal. Mungkin kurang sehari dua saja dan selepas itu bekalan akan datang dan biasanya minyak paket ini dibeli untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Tamat








