RM150 upah seludup barang subsidi.

Semporna: Upah RM150 untuk seludup barang subsidi ke Pulau Sitangkai, Filipina. Itu pendedahan seorang lelaki warga asing yang ditahan di perairan Pulau Mataking, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit dikesan bergerak menggunakan bot dari perairan Semporna ke perairan Filipina.

Hasil pemeriksaan, bot berkenaan didapati membawa minyak petrol bersubsidi bersama minyak masak yang dianggarkan bernilai RM16,906 termasuk bot serta enjin yang digunakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, siasatan mendapati suspek aktif terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak dari Semporna ke Pulau Sitangkai, Filipina.

Katanya, upah yang diterima untuk kegiatan penghantaran sehala adalah sebanyak RM150 hingga RM200.

“Antara yang berjaya dirampas adalah 275 liter minyak petrol bersubsidi dan 137 bungkusan minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku pernah ditangkap atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan pernah di penjara Kota Kinabalu dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tamat