Pindah sekiranya hujan lebat berterusan.

Penampang: Penduduk kawasan rendah yang berisiko tinggi dilanda banjir dinasihatkan sulaya berpindah ke tempat selamat sekiranya hujan lebat berterusan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan sedang melakukan usaha terbaik dalam menyiapkan projek-projek tebatan banjir.

Katanya, ia termasuk dua projek tebatan banjir yang sedang giat dijalankan di daerah Penampang dan Putatan.

“Namun, kita menjangkakan keseluruhan pembinaan tebatan banjir ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.

“Sementara itu, saya menggesa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berisiko tinggi berlaku banjir supaya membuat perancangan untuk berpindah ke kawasan lain semasa hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Ketika ini, PPS Dewan Kebudayaan Penampang menempatkan seramai 13 keluarga, sejak Ahad lalu, susulan rumah mereka dilanda banjir akibat hujan lebat.

Sehubungan itu, Jeffrey menasihati penduduk yang berada di kawasan rendah supaya sentiasa peka terhadap kenaikan paras air sungai.

Katanya, pemilik tanah juga disarankan untuk mengelak daripada membina rumah mereka berhampiran dengan sungai yang berisiko untuk banjir.

“Musim hujan baru bermula dan menurut Jabatan Meteorologi, lebih banyak hujan dijangka sebelum akhir tahun ini.

“Cuaca semakin tidak menentu kerana kesan perubahan iklim. Marilah kita bekerjasama untuk mengelakkan kerugian harta benda,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai keadaan banjir di daerah berkenaan oleh Pegawai Daerah, Francis Chong di pusat bencana alam daerah dan langkah-langkah yang diambil bagi membantu mangsa.

Tamat