Tiga lelaki ditahan dalam operasi ambang tahun baharu 2023.

Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan tiga individu termasuk seorang pemandu mabuk dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ), malam tadi.

Antara operasi sempena tahun baharu yang diadakan itu termasuk dua sekatan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang dan Jalan Papar – Kota Kinabalu, Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam dua operasi sekatan jalan itu, pihaknya menahan seorang lelaki selepas dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol.

Selain itu katanya, hasil pemeriksaan terhadap 70 kenderaan, sebanyak 37 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.

“Pemandu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Dalam operasi yang sama, polis turut sebuah premis hiburan yang dipercayai menjalankan operasi hiburan awam tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil serbuan itu, seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958.

Katanya, pasukan serbuan turut merampas peralatan muzik milik premis berkenaan dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Sek 12(3) akta sama kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi berkenaan diadakan bagi menunjukkan kehadiran polis di tempat awam.

Katanya, ia juga sebagai usaha mengekang berlakunya kejadian jenayah di Daerah Penampang dalam suasana kemeriahan sambutan Tahun Baru 2023.

Tamat