
Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan operasi khas secara berterusan di tiga lokasi di daerah ini yang dikenalpasti lokasi pilihan samseng jalanan.
Tindakan itu diambil dalam usaha untuk membanteras sepenuhnya gejala berkenaan daripada terus berleluasa sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan yang lain.
Tiga lokasi yang dikenalpasti ialah di Jalan Kepayan Aeropod; Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran hotel Marriot dan Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan Anjung Selera, di pusat bandar.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan ini susulan rungutan masyarakat di tiga lokasi berkenaan yang sering terganggu dengan aktiviti samseng jalanan.
Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah mengadakan beberapa siri operasi sejak pertengahan tahun lalu.
“Bagaimana aktiviti ini (samseng jalanan) masih berterusan terutama apabila pegawai dan anggota trafik terbabit dalam penugasan-penugasan lain yang menyebabkan ketidakhadiran mereka di kawasan berkenaan.
“Susulan itu, gejala sosial mat rempit berkembang semula. Jadi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan memastikan bahawa operasi secara berterusan akan dibuat di tiga kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, aktiviti samseng jalanan ini berleluasa terutamanya pada tengah malam di setiap hujung minggu.
“PDRM Kontinjen Sabah akan pastikan aktiviti ini akan dibanteras secara sepenuhnya supaya keselamatan khususnya pengguna jalan raya di kawasan berkenaan lebih terjamin.
“Begitu juga dengan pengunjung-pengunjung di gerai-gerai di Anjung Selera yang terganggu dengan bunyi bising,” katanya.
Sementara itu, Jauteh meminta masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan supaya gejala sosial berkenaan dapat sama-sama dibanteras.
Tamat




