Kanak-kanak maut terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Nor Rafidah Kasim

Keningau: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Sosogoh Salong, Pagalungan, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 7 tahun terbabit dikatakan terkena tembakan di kepala ketika bermain bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nabawan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis ‘pump gun’.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses dibedah siasat.

“Susulan kejadian itu, tujuh individu ditahan untuk membantu siasatan dan senapang yang dipercayai digunakan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tamat