Kota Kinabalu: Program derma darah yang dianjurkan hasil gabungan Persatuan Insan Prihatin Sabah, Chong Trading dan WTS Gas Sdn Bhd di Dewan Manggatal, semalam, berjaya mengumpul 96 pain darah.
Program yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam itu mendapat sambutan positif dengan kehadiran ramai penduduk terutamanya di kawasan DUN Inanam.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Peto Galim berkata, program murni seperti ini amat diperlukan secara berterusan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memastikan bekalan darah di hospital di negeri ini sentiasa mencukupi untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kehadiran ramai penderma seperti hari ini membantu meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah.
“Program derma darah sangat penting untuk disokong oleh semua pihak terutama hospital yang amat memerlukan darah buat masa ini,” katanya ketika ditemui.

Peto berkata, kekurangan bekalan darah di hospital membimbangkan dan oleh itu kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan.
“Sudah tiba masanya, semua pihak duduk berbincang bersama supaya kesedaran dan tanggungjawab orang ramai menderma darah ini akan bertambah,” katanya.
Program derma darah yang berlangsung selama enam jam itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) serta KRT Pekan Manggatal.





