Kota Kinabalu: Masalah keluarga dipercayai punca seorang lelaki nekad membunuh diri dengan cuba terjun dari tingkat lima di sebuah pusat beli belah di Inanam, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit dapat diselamatkan selepas berjaya dipujuk anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.06 petang.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki dipercayai cuba bunuh diri di kawasan tempat letak kereta di tingkat lima bangunan berkenaan.
“Pasukan bomba dan ahli keluarga lelaki terbabit bagaimanapun berjaya memujuk mangsa sebelum diselamatkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Agustavia berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.55 petang,” katanya.
Tamat






