KOTA KINABALU: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yakin beliau masih layak untuk bertanding dan menyifatkan dirinya sebagai calon boleh menang.

Bagaimanapun Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, keputusan muktamad masih belum dibuat sama ada dirinya akan bertanding atau di mana kawasan wakil USNO akan bertanding.
“Saya tidak boleh cakap bertanding atau tidak, ikut keadaan. Kalau keadaan saya nampak ramai orang tua bertanding, saya tidak malu bertanding kerana semua tua-tua.
“Kalau yang bertanding semua 28 tahun, saya pula terhegeh-hegeh mahu bertanding, malulah saya sendiri.
“Saya masih kuat walaupun bertongkat, saya layak bertanding, saya calon boleh menang, saya boleh bercakap dan saya tiada hal lain, jadi saya rasa layak bertanding. Tapi terpulang kepada saya bertanding atau tidak atau dicadangkan oleh parti atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jelajah USNO Peduli Rakyat Zon 3 di Inanam, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pandikar berkata, beliau mungkin berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor atau Banggi jika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, perkara itu bukan masalah kerana ia pernah dilakukan oleh pemimpin lain, termasuk pengasas USNO sendiri Tun Datu Mustapha Datu Harun.
“Kalau Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh pindah dari Permatang Pauh ke Port Dickson, Lim Kit Siang dari Melaka ke Pulau Pinang, sudah sampai masanya mungkin saya pilih kawasan.
“Kalau Tun Mustapha dulu dari Kudat boleh bertanding di Usukan kami kasih menang, tidak hairan kalau saya tanding di Tanjung Kapor atau Banggi. Politik ini bukan susah, senang saja, sama ada menang atau kalah,” katanya.

Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Menurutnya, beliau turut diberi bayangan oleh Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS mengenai tumpuan USNO tertumpu di kawasan pesisir pantai antaranya Kunak, Sekong, Tanjung Kapor dan Banggi.
Untuk rekod, pada PRN16 yang diadakan September 2020, Pandikar tewas di tangan Datuk Fairuz Renddan yang kini Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan majoriti 84 undi.




