JHEWA agih 2,000 pek bubur lambuk pupuk semangat kemasyarakatan

KOTA KINABALU : Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk bagi memupuk semangat kemasyarakatan sempena bulan Ramadan tahun ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata program tahunan tersebut bertujuan untuk menghidupkan semangat kemasyarakatan di kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum.
“Setiap tahun kita buat begini untuk kita memupuk semangat, menyemarakkan lagi semangat kemasyarakatan yang seperti mana kalau di Sabah, kita terdiri daripada pelbagai etnik.
“Ini adalah satu keunikan kepada negeri Sabah dan itu memang sudah menjadi lumrah kita di negeri ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan agihan bubur lambuk dalam Program Ukhuwah Ramadan Agihan Bubur Lambuk di perkarangan Wisma Wanita, pada Khamis.
Tambahnya, program anjuran JHEWA bersama Usahawan Intelek Sabah (SWISE) dan Adabi itu mampu memupuk semangat berganding bahu dalam melaksanakan aktiviti kebajikan.
Dalam program tersebut, tiga hospital kerajaan sekitar Kota Kinabalu menerima bubur lambuk selain Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut dan warga KPMKR.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Alijah Ismail dan Pengarah JHEWA, Haslina Ismail.-PENERANGAN.

GAUL …. Flovia (tiga dari kiri) turut serta menggaul bubur lambuk.
KENANGAN…Flovia (baris kedua, tengah) mengabadikan foto kenangan bersama warga Jhewa yang terlibat dalam penyediaan dan agihan bubur lambuk.