PENAMPANG : Perusahaan emas berpotensi menjadi perkhidmatan yang memberi pulangan lumayan kepada gerakan koperasi di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata perniagaan tersebut merupakan satu peluang yang baik untuk koperasi, selain Kedai Ar-rahnu yang dapat memberikan keuntungan tinggi kepada koperasi.
“Mengambil kira pengalaman-pengalaman koperasi di seluruh negara yang terlibat dalam perkhidmatan dan perniagaan berasaskan emas menunjukkan pencapaian yang sangat baik sekali.
“Ini dilihat sebagai pelaburan yang memberikan pulangan lumayan, selamat dan stabil seperti mana dilihat harga pasaran emas kian meningkat dari semasa ke semasa,” katanya di Majlis Pelancaran Kedai Emas Koperasi Kota Kinabalu Progresif Sabah (KOKINAPRO) Berhad, pada Khamis.
Ewon ketika ditemui media turut berharap agar pembukaan kedai emas fizikal milik Kokinapro itu dapat memberi motivasi kepada koperasi lain, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan.
“Ini termasuklah simpanan dalam bentuk emas, kita tahu kalau tunai, nilai mata wang itu boleh berubah cepat tetapi kalau simpanan emas itu jarang sekali menurun nilainya.
“Selain itu, kalau ikut datanya nilai emas itu semakin meningkat dan ini sesuatu yang baik, saya berharap rakyat Sabah juga mengambil kesempatan dengan nilai emas yang semakin meningkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ewon menjelaskan Kokinapro kini dalam perancangan untuk menawarkan Gold Saving Programme yang membuka peluang kepada masyarakat untuk membeli dan menjual emas secara atas talian (online).
“Difahamkan mereka sedang menyediakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM ) terlebih dahulu sebagai badan kawal selia koperasi bagi memastikan perniagaan dijalankan mengikut tata kelola,” tambahnya.
Berdasarkan Data Perangkaan Koperasi Negeri Sabah setakat 30 Jun 2024, jumlah koperasi berdaftar adalah 1,884 dengan pencapaian RM363.98 juta perolehan.-PENERANGAN.






