KTC rancang bina hab terbesar di KKIP


KENINGAU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) merancang untuk membina hab terbesar di KKIP, kata Pengarah Eksekutif KTC Datuk Dexter Lau.

Beliau berkata, hub itu bakal dibina di kawasan seluas 15 ekar yang telah dikenalpasti di KKIP dan jika terlaksana ia akan menjadi hab KTC yang terbesar di Borneo.

“Ia sekali gus akan menjadi syarikat tempatan pertama di Sabah yang mewujudkan kemudahan pergudangan dan pembuatan.

“Hab itu juga akan berfungsi sebagai ibu pejabat utama yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia, turut mengukuhkan ekonomi Sabah,” katanya.

KENANGAN …. Dexter dan Awang Kadin serta teramu lain bergambar bersama 50 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Keningau dalam program `shopping raya’ Jelajah Iftar 2025 KKTC dan UPPM Sabah, di Servay Jaya Keningau.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa Program Jelajah Iftar 2025 anjuran KTC dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Kompleks Sukan Keningau.

Lebih 1,000 orang menghadiri majlis berbuka puasa yang meliputi kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan termasuk DUN Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook dan Nabawan.

Sumbangan diberikan kepada asnaf, ibu tunggal, OKU, warga emas dan mangsa banjir sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir pada majlis itu sebagai tetamu kehormat ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; wakil-wakil rakyat tempatan dan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Dexter melahirkan rasa syukur kerana dapat menyertai Ketua Menteri pada petang itu dan atas pengiktirafan Hajiji terhadap usaha UPPM, serta sumbangan KTC kepada program tersebut. Beliau percaya usaha menganjurkan lawatan berbuka puasa itu berbaloi.

Penaja acara berbuka puasa Keningau termasuk Sabah Softwood, Benta Wawasan, Sawit Kinabalu dan Jetama.

Terdahulu pada sebelah pagi, KTC dengan kerjasama UPPM turut menganjurkan Program Shopping Raya dihadiri seramai 50 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Keningau telah dibawa membeli-belah pakaian raya di Servay Jaya Keningau.

Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli pakaian dan kasut, bertujuan untuk meringankan beban keluarga mereka dan menyebarkan kegembiraan semasa musim perayaan.

Dexter mengucapkan terima kasih kepada penaja program, KTC, dan berharap inisiatif bermakna ini akan diteruskan tahun depan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang yang memerlukan.

– Oleh JOHN TAMBANAN