- Oleh JOHN TAMBANAN
TAWAU: Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah berakhir di Tawau.
Program itu telah berlangsung di pasaraya Servay Tawau, pada Selasa melibatkan kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan, merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai, dan Sebatik.
Sebanyak 51 kanak-kanak terpilih daripada dua kawasan Parlimen berkenaan dibawa membeli pakaian raya sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Secara keseluruhan, seramai 1,200 kanak-kanak yang memerlukan telah mendapat manfaat melalui program Shopping Raya sepanjang Jelajah Iftar 2025. Bilangan penerima meningkat berbanding 850 orang pada tahun lepas.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak yang telah bersama menjayakan program tersebut.

“Sungguh cepat masa berlalu, program ini hampir berakhir. Adalah amat bermakna untuk membantu anak-anak yang memerlukan. Program ini menjadi peringatan kepada saya dan keluarga agar sentiasa penuh kesyukuran, menghargai setiap rezeki yang ada dan tidak membazir,” katanya.
Dexter berkata, Jelajaf Iftar 2025 merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KTC untuk menggalakkan perkongsian rezeki dengan masyarakat.
Katanya, KTC telah menyalurkan RM1.5 juta untuk menjayakan Jelajah Iftar tahun ini. “Saya berasa amat berbesar hati berbuka puasa bersama masyarakat luar bandar dan menekankan pentingnya pembangunan industri tempatan serta penciptaan peluang pekerjaan,” katanya.
Dexter berkata, apa yang beliau kongsi adalah rezeki yang ingin dikongsi bersama, dan berharap dapat bekerjasama lagi pada tahun depan jika dipilih semula.
Sementara itu, pemimpin tempatan Datuk Aziah Atoh berkata, program Shopping Raya ini, yang turut melibatkan 24 Parlimen, memberi tumpuan kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Dexter dan isteri Datin Siew atas sumbangan mereka.
“Kami sangat berterima kasih dan berharap Datuk Dexter akan terus menyumbang untuk menceriakan anak-anak dan golongan asnaf pada masa akan datang.
“Ini merupakan tahun kedua kami bekerjasama, dan saya amat menghargai komitmen beliau sebagai seorang individu korporat yang membantu secara langsung sejak hari pertama lagi,” katanya.
Pada sebelah petang, Jelajah Iftar 2025 telah dihadiri lebih 700 orang masyarakat Tawau dan Kalabakan serta 70 orang dari golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya, serta 20 imam kariah menerima sumbangan khas.
Ia turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady; ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal, ADUN Sebatik, Datuk Hassan Gani.
Turut hadir ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin dan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad And Rashid.







