LABUAN: Menjelang sambutan Aidilfitri, Yayasan PETRONAS sekali lagi menyerlahkan komitmennya untuk menyokong komuniti melalui inisiatif Memacu Kehidupan dengan menyumbangkan barangan makanan dan pek perayaan kepada 150 penerima di Labuan.
Pengagihan sumbangan berlangsung di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan pada tengah hari Selasa lepas membabitkan sebahagian besar penerima manakala selebihnya diserahkan semasa majlis berbuka puasa pada sebelah petang.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, menyampaikan sumbangan pada majlis itu sambil diiringi Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd, Hiffani Mohd Jalil.
Ketika berucap pada majlis itu, Hiffani berkata, “Dalam kita menunaikan ibadah Ramadan, masa untuk memupuk perpaduan, kesyukuran, dan pembaharuan, kami bersyukur dengan kesempatan yang ada untuk menyantuni masyarakat di Labuan.

Peluang untuk berkongsi keceriaan khususnya menjelang Aidilfitri pastinya memupuk rasa kebersamaan yang lebih mendalam.
Melalui inisiatif Memacu Kehidupan, Yayasan PETRONAS terus menyemarakkan keceriaan kepada komuniti di seluruh negara sempena sambutan perayaan utama.
Pada masa sama, Yaysan PETRONAS turut menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada 300 penerima di Tuaran menerusi inisiatif Memacu Kehidupan.
Penyerahan barangan keperluan dan pek perayaan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Padang Istiadat Tuaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis yang turut hadir dimajlis itu berkata, “Kita menyambut Aidilfitri dengan rasa penuh gembira dan semangat kebersamaan. Menerusi inisiatif Memacu Kehidupan ini, kami ingin memeriahkan lagi suasana hari raya.
“Di Yayasan PETRONAS, kami komited untuk mendekati dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, terutamanya pada musim perayaan,” katanya.