- Penulis ‘mesej layang’; tidak mendapat maklumat tepat daripada `sumber dalaman’
-Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan penglibatannya dalam mesyuarat di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023 adalah sebagai kapasiti Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM).
“Penglibatan saya pada ketika itu adalah sebagai Ahli Lembaga Pengarah SMM. Saya fikir penulis ‘mesej layang; tidak mendapat maklumat tepat daripada sumber dalaman' yang dinyatakan dalammesej layang’ itu sekali gus mengambarkan tahap kompetensi dan integriti yang diragui,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat itu merupakan perjumpaan rasmi di antara pengurusan kedua-dua pihak iaitu SMM anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah dan PT Bayan, syarikat senaraian awam yang merupakan antara syarikat pembayar cukai terbesar di Indonesia, bukan syarikat-syarikat kartel mineral yang tidak mempunyai sebarang ‘track record’.
“Ia adalah misi meneliti cadangan pelaburan tulen dan berimpak tinggi sebagaimana kejayaan pelaburan mereka di Indonesia yang turut menggunakan ramai tenaga kerja profesional dari Malaysia,” katanya.
Katanya, susulan perjumpaan tersebut, Pengurusan SMM yang turun disertai pasukan teknikalnya seharusnya bertanggungjawab membuat laporan kepada Lembaga Pengarah SMM.
Katanya, kedua-dua gambar yang ditularkan secara jelas menunjukkan kehadiran pasukan pengurusan kedua-dua pihak, tidak timbul soal perjumpaan sulit seperti didakwa.

“Sebagai Ahli Lembaga Pengarah SMM ketika itu, saya mengambil tanggungjawab atas setiap tindakan saya bersandarkan amanah yang diberikan, dan diharapkan semua pihak juga berpegang kepada prinsip yang sama.
Saya muskil penglibatan saya dalam mesyuarat di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023 dijadikan modal fitnah,” katanya.
Armizan berkata, Sabah tidak boleh dibangunkan bermodalkan fitnah, tetapi atas idea bernas dan komitmen tinggi menggerakkan hala tuju pembangunan negeri.
“Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan hala tuju serta hanya cuba mendapat sokongan rakyat dengan sentimen dan persepsi yang berpaksi fitnah dan cacian; menuding jari mencari salah orang lain tanpa melihat kepada ‘track record’ sendiri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Ihya’ Ramadan Tahun 2025 Peringkat Parlimen Papar, di Dewan Datuk Salleh Sulong, Papar kelmarin.
Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Mohd Na’im turut menyempurnakan majlis penyerahan replika cek sumbangan daripada yayasan Taqwa, sumbangan kepada pengerusi masjid, surau, imam, bilal dan Tok Siak serta bantuan zakat daripada Majlis Ugama Islam Sabah.
Amirzan merujuk kepada dua kenyataan media yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed pada 26 Mac 2025 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong daripada Parti Warisan.
“Mereka menjadi ‘suara’ memanjangkan beberapa perkara yang terkandung dalam ‘mesej layang’ tanpa sumber dan nama yang sengaja ditularkan di akaun-akaun media sosial palsu mendakwa saya terlibat dengan skandal rasuah berhubung mineral di Sabah.
Saya meminta kedua-dua individu ini dan Ahmad Hassan (Mantan Ahli Parlimen Papar -Warisan) yang menyumbang kepada penularan ‘mesej layang’ agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut.
Sila bawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil dan ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud.
Sekiranya Jeffery, Calvin dan Ahmad tidak berjaya mencari mereka, saya cabar ketiga-tiganya membuat kenyataan susulan bahawa saya terlibat rasuah, say it out loud, tanpa ayat berlapik,” tegasnya.
Armizan berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis secara rasmi kepada ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan kerjasama dalam memberikan penjelasan sama ada tindakan mereka membawa maksud mereka senada dengan ‘mesej layang’ bahawa saya terlibat dalam skandal rasuah.
Katanya, sebagai individu yang menggelar diri pemimpin, mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk mencipta persepsi politik. Ini lambang tahap integriti diri.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibangkitkan dan ia merupakan satu fitnah.
Saya berharap Jeffrey, Calvin, Ahmad dan sesiapa sahaja dapat membantu saya mencari pihak yang boleh tampil mengambil tanggungjawab untuk saya berdepan dengan mereka di mahkamah.
Dengan adanya sumber itu, saya boleh memulakan tindakan saman fitnah/libel dan mereka perlu mengemukakan segala bukti (sekiranya ada) bahawa tuduhan mereka benar.
Jangan baling batu, sembunyi tangan. Berani menuduh, berani tampilkan diri, ambil tanggungjawab terhadap dakwaan dan kita jumpa di mahkamah,” tegasnya.





