Fasiliti Hospital Nabawan dimasukkkan dalam Pelan KKM 2023 – 2045 RMKe-17

PERANCANGAN untuk menubuhkan fasiliti Hospital Nabawan telahpun dimasukkan dalam Pelan Induk Perancangan Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia 2023 – 2045 untuk dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ketujuh Belas (RMKe-17).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, buat masa ini, rawatan bagi pesakit di daerah Nabawan diberikan melalui fasiliti Klinik Kesihatan Nabawan sedia ada.
“Iaitu Klinik Jenis 4 yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi klinik-klinik lain di sekitar daerah Nabawan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (PGRS-Nabawan) sama ada kerajaan akan mencadangkan supaya Klinik Kesihatan Nabawan dinaiktaraf kepada Hospital Nabawan ekoran peningkatan populasi di daerah Nabawan pada ketika ini berbanding dahulu.
Selain itu jarak ke hospital berhampiran jauh dan juga mempunyai populasi yang ramai dan padat.
James berkata, pada tahun 2019, skop perkhidmatan Klinik Kesihatan Nabawan telah diperluaskan dengan penambahan Unit Hemodialisis selain daripada Perkhidmatan Pesakit Luar (OPD), Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Kecemasan, Perkhidmatan Radiologi (X-ray), Perkhidmatan Makmal Kesihatan Primer, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Pemakanan dan Perkhidmatan Jurupulih Perubatan.
Katanya, bagi memastikan perkhidmatan rawatan yang konsisten sistem kerja syif telah diperkenalkan di Unit Kecemasan dan Ruang Pemantauan Pesakit sejak tahun 2017 bagi membolehkan perkhidmatan diberikan secara 24 jam.
“Sistem ini dilaksanakan untuk memudahkan penduduk di daerah Nabawan mendapatkan rawatan kecemasan pada bila-bila masa. Pesakit akan dirujuk ke Hospital Keningau sekiranya perlu dirujuk ke Hospital Pakar,” katanya.

BERSALAMAN …. James (kiri) bersalaman dengan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN-DiLantik) setibanya bagi menghadiri persidangan DUN Sabah.