Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Sebanyak 21 rumah dan sebuah stor dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Jambatan 3, Kampung Batu Putih, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua mangsa dilaporkan turut cedera akibat melecur selepas dipercayai cuba menyelamatkan diri.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jasri Ab.Jal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.40 pagi
Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan 21 rumah jenis tidak kekal dan sebuah stor penyimpanan barang-barang kampung terbakar 100 peratus.
“Keluasan kawasan kebakaran terlibat dianggarkan kira-kira tiga ekar dan pasukan operasi segera melancarkan operasi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan 487 meter dengan tiga aliran dan 6 pancutan sumber air dari jentera dan air terbuka.
“Terdapat 2 mangsa melecur di bahagian tangan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.
“Api berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi namun operasi pemadaman masih diteruskan. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut hadir membantu di lokasi.






