LIVERPOOL: Liverpool membelasah Tottenham Hotspur 5-1 untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris di gelanggang keramat Anfield pada Ahad, sekali gus menyamai rekod kejuaraan liga buat kali ke-20.
Anak buah Arne Slot bangkit selepas bolos awal sebelum menguasai sepenuh permainan dengan disokong semangat membara kira-kira 60,000 penyokong di Anfield.
Liverpool, yang tidak akan dapat dipintas oleh pencabar terdekat, Arsenal, kini berkongsi rekod 20 kejuaraan liga dengan musuh tradisi mereka, Manchester United sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah liga elit bola sepak Inggeris.
Ia juga kejuaraan liga yang kedua buat Liverpool dalam format Liga Perdana dan kali pertama dicapai dan diraikan di hadapan penyokong mereka di stadium keramat Anfield sejak 1990 – dengan kejayaan pada 2020 berlaku dalam stadium hampir kosong kerana sekatan pergerakan akibat COVID-19.
Slot,dalam musim pertama bola sepak Inggeris berkata dia mempunyai asas yang kukuh ditinggalkan bekas pengurus, Jurgen Klopp yang meninggalkan kelab selepas sembilan tahun.
“Hampir keseluruhan musim kami berada di tangga teratas dan mempunyai sebuah pasukan yang mampu memenanginya,” kata Slot ketika memberitahu penyiaran Sky Sports.
“Kami tahu bagaimana sukarnya Liga Perdana tetapi kami sentiasa mempunyai kepercayaan kami mampu memenanginya.
“Hasil kerja Jurgen (Klopp) dan (penolong) Pep (Lijnders) tinggalkan, budaya, kadar kerja, kualiti, adalah luar biasa. Kami memulakan musim dengan sangat bagus dan mungkin ia membantu di mana Man City mengharungi tempoh sukar berbanding lima tahun yang lalu.
“Apabila musim bermula, kami pastinya gembira dengan (kedudukan) empat tangga teratas. Tetapi saya tidak fikir ia adil kepada pemain kerana mereka lebih bagus daripada itu dan mereka menunjukkannya musim ini.”
Liverpool memulakan perlawanan dengan keyakinan di stadium yang juga bersemangat tinggi selepas lagu rasmi kelab “You’ll Never Walk Alone” dimainkan dalam pancaran matahari musim bunga tetapi mereka dikejutkan dengan gol awal oleh Tottenham yang dijaringkan Dominic Solanke.
Bagaimanapun, gol itu seperti pembakar semangat Liverpool yang mengambil masa hanya 12 minit untuk mengikat kedudukan menerusi tolakan jarak dekat Luis Diaz dan 10 minit kemudian rembatan kencang Alexis Mac Allister untuk meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama.
Cody Gakpo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-34 untuk meletakkan Liverpool selesa 3-1 pada masa rehat.
Penjaring terbanyak, Mohamed Salah, menerima umpanan Dominik Szoboszlai untuk menjaringkan gol keempat pada minit ke-63 sebelum mengambil telefon pintar peminat tepi padang dan mengambil gambar swafoto bersama penyokong
Sorakan bingit ‘Kami akan memenangi liga” dan “kami tidak akan bergerak” semakin kuat kedengaran dalam stadium.
Liverpool melengkapkan jaringan apabila pemain pertahanan Spurs, Destiny Udogie tertolak bola ke pintu golnya sendiri ketika berbaki 21 minit permainan.
Selepas itu, penyokong terus menyanyikan lagi rasmi kelab sambil menunggu wisel penamat oleh pengadil.
Kemenangan meletakkan Liverpool pada 85 mata, 15 mata di hadapan Arsenal dengan baki empat perlawanan.
Tottenham pula kekal di tangga ke-16 liga selepas kekalahan ke-19 musim ini, meletakkan tekanan lebih berat ke atas pengurusnya, Ange Postecoglou.
Puluhan ribu penyokong Liverpool berkampung sekitar stadium Anfield sebelum sepak mula dengan jangkaan pengesahan kejuaraan liga buat Liverpool, membakar suar ketika bas pasukan mereka tiba ke stadium.
Bendera dan skaf bertulis “Liverpool juara 20 kali” dijual di gera-gerai di luar stadium.
Pada awal musim, Manchester City menjadi pilihan untuk meneruskan penguasaan dalam Liga Perdana Inggeris dan memenangi kejuaraan yang kelima berturut-turut namun semua itu tidak berlaku.
Arsenal kemudian muncul pencabar terdekat Liverpool tetapi mereka seri terlalu banyak perlawann dan gagal mengambil kesempatan apabila Liverpool tercicir beberapa mata.
Ada kebimbangan di mana pemain Liverpool memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Slot tetapi bekas jurulatih kelab Feyenoord itu mengharungi satu musim yang cukup cemerlang ketika spekulasi mengenai masa depan tiga bintang terbesar kelab – Salah, kapten pasukan Virgil van Dijk dan pemain pertahanan kental Trent Alexander-Arnold mengancam menjejaskan musim mereka.
Salah dan Van Dijk sudah menandatangani kontram lanjutan dua tahun namun Alexander-Arnold dijangka akan berpindah ke Real Madrid.
“Banyak emosi sebelum perlawanan, semasa sepanjang minggu tetapi kami melaksanakan tugas kami dan kami selayaknya juara England,” kata Van Dijk.
“Kelab paling hebat di dunia dan saya fikir kami selayaknya semua ini.”





