Tindakan lebih tegas perlu tangani aktiviti bom ikan

KOTA KINABALU: Kelab Sabah Dive Squad menggesa pihak berkuasa supaya mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pengeboman ikan dan penangkapan ikan menggunakan tombak secara haram yang semakin berleluasa.
Presiden Kelab Sabah Dive Squad Sim Fui berkata, amalan merosakkan hidupan laut itu adalah ancaman yang semakin meningkat terhadap ekosistem marin serta industri menyelam di Sabah.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja memusnahkan biodiversiti marin, malah mengancam nyawa penyelam, merosakkan terumbu karang yang penting untuk pelancongan Sabah serta satu-satunya sumber hidup masyarakat nelayan asal di kawasan pesisir.
“Mereka yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat. Tiada alasan untuk bersikap berlembut apabila risiko yang dihadapi begitu besar.
“Aset laut Sabah tidak ternilai harganya, dan kita tidak sepatutnya bersikap pasif. Perlindungan ini bukan sekadar soal memelihara alam, tetapi soal menjamin masa depan komuniti pesisir dan memastikan kelangsungan sektor pelancongan bernilai berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan kelab itu di sini.
Beliau berkata, pengeboman ikan dan penangkapan ikan menggunakan tombak, terutamanya di kawasan selaman yang popular, boleh menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi menyelam utama di rantau ini.
Sim turut menggesa kerjasama yang lebih erat antara agensi penguatkuasaan, pengusaha dan kumpulan pemuliharaan untuk menghalang kemerosotan lanjut habitat marin di Sabah.
Menurutnya, pada 2019, dua warga China dan seorang jurulatih selam tempatan terbunuh akibat pengeboman ikan ketika menyelam di perairan Semporna.
Selain itu jelasnya, Jabatan Perikanan Sabah memaklumkan, industri selam skuba menyumbang lebih RM500 juta pendapatan kepada Sabah dalam tempoh setahun.
Sementara itu, ahli kelab dan aktivis pemuliharaan Monica Chin berkongsi pengalaman mengejutkan yang dialami pasukan selamnya baru-baru ini.
“Kami terdengar tiga letupan bom dalam satu sesi selaman sahaja. Ia amat menakutkan. Pernah berlaku lapan kejadian pengeboman ikan dalam satu hari di kawasan yang sama.
“Selain itu, kami juga menerima laporan mengenai penyelam skuba yang menangkap ikan menggunakan tombak di kawasan seperti Kota Kinabalu, Sepanggar dan lokasi selaman popular di Kota Belud,” katanya.
Ditubuhkan pada Jun 2022, Kelab Sabah Dive Squad yang turut dikenali sebagai Deus Diving Club (DDC) kini mempunyai lebih 100 ahli dari pelbagai latar belakang profesional, disatukan oleh komitmen terhadap aktiviti selaman dan pemuliharaan laut.

KENANGAN …. Sim Fui (duduk, lima kiri) bersama ahli Kelab Sabah Dive Squad selepas mesyuarat
agung tahunan kelab itu.