Tarikh tutup Pertandingan Manangon, Monusuyan dilanjut ke 10 Mei 2025

KOTA KINABALU:  Tarikh tutup penyertaan Pertandingan Manangon dan Monusuyan dilanjutkan dari 2 Mei ke 10 Mei ini.

Pengerusi jawatankuasa pertandingan, Tindarama Rayner F Udong berkata pelanjutan tersebut bagi membolehkan lebih banyak penyertaan sebagai usaha memartabatkan kemahiran dan penguasaan bertutur dengan bahasa ibunda dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan Manangon dan Monusuyan sebenarnya telah dilanjutkan tarikh tutup penyertaan dari 2 Mei ke 10 Mei 2025.

“Oleh itu, kita menyeru kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk menghantar penyertaan dengan memuatnaik rakaman video seperti yang telah ditetapkan ke pihak Jawatankuasa penganjur pertandingan,” ujarnya.

Menurut beliau, pertandingan Manangon (penceritaan pelbagai), Monusuyan (penceritaan kisah benar) dan Roisol (pidato) diadakan bersempena dengan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah.

“Pertandingan Manangon dan Monusuyan terbahagi kepada dua kategori iaitu terbuka kepada murid-murid sekolah rendah tahap satu yang berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

“Manakala, tahap dua yang berumur 10 hingga 12 tahun di seluruh Sabah tanpa mengira etnik, bangsa dan kepercayaan.

“Kelainan penganjuran pada kali ini ialah dengan adanya penambahan pertandingan Roisol (pidato) diadakan buat kali pertama di peringkat negeri.

“Sementara bagi pertandingan Manangon pula adalah kali keenam dan pertandingan Monusuyan kali keempat pada tahun ini,” jelasnya dalam Slot Temubual Bersama DJ Lerry di Konti Sabah VFM pada Rabu.-Penerangan.

RAYNER di konti Sabah VFM.