PPM rampas dua kapal bersama 78,500 liter diesel bernilai RM13.29 juta

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Dua kapal bersama 78,500 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM13.29 juta dirampas selepas dikesan melakukan aktiviti pemindahan secara tidak sah, semalam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, kedua-dua kapal tersebut dikesan melakukan aktiviti berkenaan ketika berada di kawasan perairan daerah ini.
Katanya, ketika serbuan, pasukan operasi turut menahan 11 individu warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang berada di kedua-dua kapal berkenaan untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua kapal dikesan ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara tidak sah di kawasan perairan Kota Kinabalu.
“Hasil tangkapan itu, pasukan operasi berjaya merampas 78,500 liter minyak diesel dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13.29 juta,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, operasi yang berjaya ini dilakukan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Operasi ini menampakkan usaha kolaborasi antara jabatan yang serius dalam membanteras aktiviti penyeludupan bahan kawalan dan rekod tangkapan penyeludupan ke luar negara.
“Kesungguhan pasukan dalam membanteras kegiatan ini secara konsisten telah memberi kesan kepada masyarakat terutamanya tentang ketirisan minyak subsidi ini,” katanya.
Sementara itu, Nazri berkata, berdasarkan rekod tangkapan sejak Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 80 kes sudah diambil tindakan di seluruh Wilayah 4 Sabah.
Katanya, ia melibatkan rampasan keseluruhan melebihi RM28.61 juta serta berjaya menahan seramai 107 orang.
“Operasi antara agensi terutamanya bersama dengan KPDN ini juga membantu dalam mempermudahkan proses risikan dan juga tangkapan dalam setiap operasi yang dilaksanakan.
“Tumpuan juga diberikan kepada lain-lain kesalahan di dalam akta ini iaitu penyeludupan keluar minyak masak, gula serta tong gas ke negara jiran.
“Tumpuan diberikan kepada daerah Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau yang sememangnya berada berhampiran dengan negara jiran,” katanya.
Nazri berkata, PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan merugikan negara serta masyarakat setempat.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan di talian 088-454820 atau pun melalui media masa laman rasmi Facebook PPM Wilayah 4 Sabah,” katanya.

DIRAMPAS …. Dua kapal bersama 78,500 liter minyak diesel
yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM13.29 juta dirampas selepas
dikesan melakukan aktiviti pemindahan secara tidak sah, semalam.