RM5 juta diluluskan untuk Limbahau

PAPAR: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi kegunaan Gereja St. Joseph dan Dewan Serbaguna Kampung Marahang, Limbahau.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan diluluskan atas permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim bagi membina dewan baharu untuk gereja berkenaan.
Beliau turut meluluskan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di sekitar Dewan Serbaguna Kg. Marahang.
Selain itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut bersetuju memperuntukkan sebahagian tanah milik Yayasan Sabah kepada penduduk di Kg. Gana dan kawasan sekitarnya.
“Ini adalah kerajaan untuk semua rakyat Sabah. Kita berlaku adil kepada semua rakyat Sabah. Kita tidak mencari pujian…buktinya jelas dapat dilihat oleh semua.
“Kita membawa pembangunan bukan hanya kepada segelintir golongan tetapi kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya pada Pesta Kaamatan di Kg. Marahang, di sini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) turun padang dan menyampaikan mesej kepada rakyat di semua peringkat akar umbi tentang usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan.
Hajiji berkata, Pesta Kaamatan merupakan satu platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan ADUN Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

SIMBOLIK …. Hajiji bersama tetemu kehormat lain menyempurnakan gimik perasmian pesta itu.