KePKAS pandang serius isu tular

Kejadian pelancong kutip tapak sulaiman di perairan bandaraya

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) ingin menjelaskan isu tular di media sosial baru-baru ini mengenai tindakan seorang pelancong yang dipercayai warganegara China yang mengutip tapak sulaiman semasa berada di perairan bandaraya ini.
Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, KePKAS memandang serius insiden itu kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip ekopelancongan yang menekankan pemuliharaan hidupan marin sebagai nilai teras utama dalam sektor pelancongan lestari.
“Siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS) mengesahkan bahawa kejadian berlaku di perairan Tanjung Aru, di luar sempadan Taman Tunku Abdul Rahman dan melibatkan sebuah syarikat pelancongan.
“Sebanyak 30 ekor tapak sulaiman telah dikutip, dikenal pasti sebagai spesies Horned Sea Star atau Chocolate Chip Sea Star yang dikenali secara tempatan sebagai tapak sulaiman bertanduk (Protoreaster nodosus).
“Haiwan ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin dan penyingkiran mereka boleh mengganggu keseimbangan yang rapuh ini,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Christina menggesa agar semua pengendali pelancongan supaya bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pelancong dan kakitangan mereka mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan, terutamanya yang berkaitan dengan perlindungan hidupan marin.
“Kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi memastikan kelestarian ekosistem marin demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Christina turut memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi di negeri ini.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan berhubung isu ini,” katanya.

CHRISTINA LIEW