KBSS rancang perluas sukan tradisi ke seluruh Sabah

PENAMPANG: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) merancang untuk memperluas penganjuran pertandingan sukan tradisi ke seluruh daerah di negeri ini.
Pembantu Menteri KBSS, Datuk Fairuz Renddan berkata usaha ini adalah  bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan tidak dilupakan oleh masyarakat khususnya dari kalangan generasi muda.
“Sukan tradisi seperti gusti lengan, melastik, menyumpit, membujak, sukan mopiri dan pelbagai permainan lain bukan sekadar hiburan, tetapi lambang warisan budaya yang perlu diteruskan oleh generasi muda. 
“Kita kini berada dalam era moden dan pesat dengan sukan elektronik (E-spot), namun para belia tidak wajar melupakan akar budaya kita sendiri terutama sukan tradisi yang menjadi kebanggaan generasi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus merasmikan Pertandingan Sukan Tradisi sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan SMK Bahang di sini pada Sabtu.
Menurut Fairuz, pertandingan tahun ini menyaksikan penyertaan yang menggalakkan dan menjadi bukti bahawa masih ramai belia Sabah yang menghargai sukan tradisi.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan aktif belia dalam program seumpama itu, dan menyeru agar usaha memartabatkan sukan tradisi dijadikan agenda berterusan.
“Dengan sokongan agensi seperti Lembaga Sukan Negeri Sabah, KBS dan rakan strategik seperti Petronas serta Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) kita bercadang untuk memperluaskan pertandingan sukan tradisi ini ke zon-zon dan daerah-daerah utama di seluruh Sabah,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan generasi muda amat penting dalam memastikan kesinambungan warisan budaya Sabah.
“Tanpa yang lama, tiada yang baru, tetapi jika yang baru tidak mengingati atau tidak meneruskan tradisi ini, maka permainan tradisi kita akan hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau turut menyeru para ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam permainan tradisi, selain mengambil peluang membawa golongan muda menyaksikan pertandingan sukan tradisi sebagai usaha memupuk minat terhadap warisan budaya sejak seawal usia.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI Awang Dzulkernain Awang Hassan, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Masly Wahip dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.-Penerangan.

RASMI… Fairuz menyempurnakan sukan melastik sebagai gimik perasmian.
Fairuz ketika ditemui media sejurus majlis perasmian.
LAWATAN… Fairuz (enam dari kiri) ketika membuat lawatan ke reruai Petronas yang menyediakan ruang permainan tradisi menggunakan inovasi baharu kendalian kakitangan Petrosains.
CENDERAMATA …. Masly (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Fairuz sejurus majlis perasmian.
SUKAN MOMOLOSTIK… Antara sukan yang mendapat penyertaan teramai pada tahun ini.
TARIK TALI …. Sukan tarik tali menjadi acara tumpuan para belia setiap tahun.
RAMPANAU …. Sukan Rampanau antara sukan yang kian dilupakan kini dihidupkan kembali bagi memberi pengalaman kepada golongan muda menunjukkan bakat dalam pengimbang badan.