LABUAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan penuh meriah dan bersemangat pada 16 Mei lalu.
Majlis itu dianjurkan oleh Kelab Guru dan Staf dengan sokongan aktif daripada pengawas sekolah, sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan pendidik.
Seramai 47 guru bersama 580 pelajar menghadiri majlis yang diadakan di Dataran Bedaun sekolah itu.
Majlis dimulakan dengan aktiviti kerohanian berupa bacaan Surah Yasin bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan buat guru.
Seterusnya, nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, Lagu Wilayah Persekutuan dan sekolah, disusuli dengan bacaan doa yang dipimpin oleh pelajar TIngkatan 5 Delta yang juga pengawas sekolah, Mohammad Muazhadif.
Dalam ucapannya, Pengetua, Norazita Md Nor, menekankan peranan penting guru dalam membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda. Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap dedikasi guru-guru dalam mendidik anak bangsa.
Katanya, sambutan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar, malah membuktikan semangat kekeluargaan dan penghargaan yang tinggi dalam kalangan warga SMK Taman Perumahan Bedaun.
“Semoga sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai penghormatan kepada guru yang menjadi tulang belakang kejayaan negara,”katanya.
Majlis diteruskan dengan tayangan video ucapan Hari Guru daripada pelajar, yang menyentuh hati guru dengan mesej-mesej penuh kasih sayang dan penghargaan.
Persembahan multimedia yang menyentuh hati itu dihasilkan oleh pelajar kelas 4 Alfa, Nur Khairunnisa dengan bimbingan Cikgu Rosenani Farera Michael.
Segmen persembahan pula dimulakan dengan nyanyian duet oleh NurHazira Aleysha dan Farah Dania Natasya, yang mempersembahkan lagu bertajuk Hero.
Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah kepada guru-guru dalam pelbagai kategori sebagai tanda penghargaan, pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka.
Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian kedua oleh Mohamad Hanif Ezaril dari kelas 4 PVMA, yang menyerikan lagi suasana dengan lagu yang bertajuk Laskar Pelangi.








