PENAMPANG: Pasukan bomba berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki terjun dari tingkat tiga sebuah apartmen di Jalan Bundusan, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.19 malam sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, lelaki berusia 29 tahun terbabit dilihat berdiri di atas pagar besi di tingkat tiga apartmen dan cuba untuk terjun ke bawah.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan lelaki terbabit selepas memujuknya dengan bantuan ibu dan isterinya,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.43 tengah malam,” katanya.









