MPASS diingat pertingkat pemantauan alam sekitar

KOTA KINABALU: Majlis Perlindungan Alam Sekitar Sabah (MPASS) diingatkan agar terus memainkan peranan penting dalam memberi nasihat kepada kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 serta pengurusan alam sekitar secara menyeluruh di negeri ini.
Pengerusi MPASS, Datuk Seri Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, MPASS perlu memberi perhatian serius terhadap isu-isu alam sekitar selaras dengan komitmen negeri dalam melaksanakan tadbir urus alam sekitar yang mampan berdasarkan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2017.
“Dasar ini merangkumi 83 strategi yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu tanah, udara, air, biodiversiti dan dimensi sosial,” katanya.
Beliau menyuarakan peringatan itu ketika mempengerusikan mesyuarat pertama MPASS bagi tahun ini yang diadakan di Bilik Mesyuarat Kementerian berkenaan di sini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Mary Malangking, Setiausaha Pejabat Sumber Asli Sernam Singh, Timbalan Pengarah EPD Daisy Aloysius, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Miklin Ationg dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Sabah) Yaras Yurus.
Mesyuarat turut disertai ahli-ahli majlis terdiri daripada pegawai kanan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Christina turut menghargai pandangan dan input yang dikemukakan oleh ahli-ahli majlis dan menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara semua pihak bagi memastikan persekitaran Sabah kekal bersih, sihat dan selamat.
Antara isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan ialah kesan aktiviti pembersihan kawasan cerun bukit serta pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna yang memerlukan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan.
“Isu-isu ini memerlukan kolaborasi erat antara jabatan dan agensi teknikal bagi memastikan pengurusan dan penguatkuasaan yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju agar perbincangan susulan antara jabatan teknikal diadakan bagi meneliti langkah lanjut yang perlu diambil.
Sementara itu, dalam mesyuarat ini, dua kertas perbincangan dibentangkan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD), iaitu Kajian Bahan Pendidikan Alam Sekitar dan Pelaksanaan Dasar serta Kajian Pelan Pengurusan Kualiti Air bagi Tadahan Sungai Inanam, Kota Kinabalu.
Hasil kajian termasuk modul kesedaran alam sekitar, dokumen amalan terbaik pendidikan alam sekitar dan permainan papan (board games) akan diedarkan oleh EPD kepada pihak berkepentingan sebagai panduan dan rujukan.
Selain itu, cadangan daripada kajian pengurusan kualiti air Sungai Inanam akan diterima pakai oleh jabatan berkaitan bagi mencegah pencemaran serta memperbaiki mutu air di kawasan tadahan berkenaan.

MESYUARAT …. Christina (tengah) mempengerusikan mesyuarat pertama MPASS bagi tahun 2025.